Meneraju Inovasi, Menjulang Kualiti, RISDA Berprestasi Tinggi
AMPANG | 29 OKTOBER 2026 Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) telah menganjurkan Majlis Hari Kualiti & Inovasi RISDA Tahun 2026 dan disempurnakan dengan jayanya oleh YB Tuan Haji Manndzri bin Haji Nasib, Pengerusi RISDA, bertempat di Auditorium Sultan Ahmad Shah, Ibu Pejabat RISDA hari ini.
Ia menjadi wadah utama dalam mengiktiraf usaha serta daya usaha warga RISDA yang berterusan menyumbang kepada pembaharuan dan peningkatan mutu perkhidmatan. Penganjuran ini menekankan kepentingan pembudayaan inovasi dan kualiti tinggi demi memacu kejayaan organisasi serta memberikan impak positif kepada pembangunan pekebun kecil di seluruh negara.
Kemuncak majlis menyaksikan penyampaian hadiah kepada pemenang Inovasi Kumpulan RISDA Tahun 2026 dan Konvensyen Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) RISDA Tahun 2026.
Bagi Kategori Penciptaan, Kumpulan Cyberlax dari RISDA Holdings Sdn. Bhd. telah dinobatkan sebagai Johan dalam Konvensyen Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) KRH Tahun 2026. Tempat kedua dimenangi oleh Kumpulan UCamerz dari Kolej Universiti Sains Malaysia (UCAM), manakala Kumpulan Innovatex Prime juga dari UCAM meraih tempat ketiga.
Kategori Inovasi Pengurusan KRH 2026 pula menyaksikan Kumpulan Innoseed dari UCAM telah dinobatkan sebagai Johan, diikuti Kumpulan Geo-Rubber-Map (UCAM) di tempat kedua dan Kumpulan RSSB-PSM dari RISDA Semaian Sdn. Bhd. (RSSB) di tempat ketiga.
Sementara itu, bagi Kategori Inovasi Teknikal KRH 2026, Kumpulan Innovatex Prime dari UCAM berjaya merangkul gelaran Johan. Tempat kedua dimenangi oleh Kumpulan RSSB Melaka, manakala Kumpulan CharFusion (UCAM) menduduki tempat ketiga.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua kumpulan atas pencapaian serta komitmen dalam mencetuskan idea kreatif dan inovatif demi meningkatkan kualiti kerja dan kecemerlangan organisasi.

