MENARA KUMPULAN RISDA HOLDINGS | 12 OKTOBER 2026
RISDA Security and Services Sdn. Bhd. (RSS), sebuah subsidiari Kumpulan RISDA Holdings, terus memperkukuh kedudukan perniagaannya menerusi pemeteraian Perjanjian Usahasama, Pengurusan dan Operasi Dapur Berpusat (Central Kitchen) bersama Fine Rydzy Enterprise.
Majlis menandatangani perjanjian tersebut telah diserikan dengan kehadiran YBhg. Datuk Zainal Azni bin Zulkifli, Ketua Pengarah RISDA, bersama YBhg. Datuk Wira Abdul Mutalif bin Abdul Rahim, Pengerusi RSS, serta barisan pengurusan tertinggi RISDA dan Kumpulan RISDA Holdings.
Turut hadir ialah Tuan Haji Noor Azan bin Mohd Noor, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan RISDA Holdings; Encik Putera bin Sidek, Ketua Pegawai Eksekutif RSS; serta Encik Ridzuan bin Anuar, Pengarah Fine Rydzy Enterprise.
Kerjasama strategik ini merupakan langkah penting dalam pengembangan sektor makanan dan minuman (F&B) RSS melalui pembangunan sebuah Central Kitchen di One Ampang Avenue, Ampang, Selangor, dengan memanfaatkan premis milik RSS sebagai aset strategik bagi menyokong pertumbuhan perniagaan.
Kemudahan ini dirancang untuk berfungsi sebagai hab pengeluaran dan penyediaan makanan secara berpusat bagi menyokong operasi kafeteria, kantin, perkhidmatan katering serta pembekalan makanan kepada pelanggan kerajaan, korporat dan institusi.
Melalui kerjasama ini, RSS menggabungkan kekuatan aset dan rangkaian perniagaannya dengan kepakaran serta pengalaman Fine Rydzy Enterprise dalam pengurusan restoran dan operasi dapur komersial. Sinergi ini dijangka dapat meningkatkan kecekapan operasi, mengoptimumkan kos pengeluaran, menyeragamkan kualiti makanan serta memperkukuh keupayaan RSS untuk meneroka peluang pasaran F&B yang lebih luas, khususnya di Kuala Lumpur dan Lembah Klang.
Selain memperkukuh daya saing perniagaan, pembangunan Central Kitchen ini turut membuka ruang kepada pengembangan rantaian bekalan makanan yang lebih tersusun dan bersepadu. Inisiatif ini berpotensi menyokong aspirasi pembangunan Ekosistem Halal RISDA melalui peluang penglibatan usahawan RISDA dan pembekal tempatan dalam aktiviti pembekalan bahan mentah, pemprosesan serta pemasaran produk makanan.
Pemeteraian kerjasama ini mencerminkan komitmen RSS dan Kumpulan RISDA Holdings untuk terus meneroka peluang perniagaan baharu, mengoptimumkan penggunaan aset serta mempelbagaikan sumber pertumbuhan pendapatan melalui kerjasama strategik dengan rakan industri.

