SELASA | 10 FEBRUARI 2026 | KUALA TERENGGANU
Kumpulan RISDA Holdings (KRH) kini memperkukuh mandatnya sebagai pemangkin syarikat berprestasi tinggi melalui pengoptimuman sumber dan penerokaan pasaran baharu. Dengan visi menjadi peneraju utama yang berdaya saing, KRH telah merangka pelan strategik menyeluruh yang menggabungkan kekuatan aset sedia ada dengan fasa pertumbuhan masa hadapan.
Melangkah ke hadapan, KRH telah menetapkan strategi “Take-Off” yang dibahagikan kepada empat fasa utama bermula tahun 2026. Antara inisiatif utama termasuklah pengukuhan rantaian bekalan melalui program “Anchor Buyer” bagi menawarkan harga belian getah yang lebih baik kepada pekebun kecil. KRH juga menyasarkan perluasan outlet RisSMART sebagai saluran strategik untuk memasarkan produk usahawan ke peringkat antarabangsa.
Fasa akhir transformasi ini (2029-2030) akan menyaksikan KRH beralih ke arah ekonomi lestari dengan tumpuan kepada sistem bekalan patuh ESG, ekosistem halal menyeluruh, serta penghasilan biofuel dan gula generasi kedua daripada sisa sawit. Langkah ini selaras dengan objektif syarikat untuk meningkatkan daya saing dan keupayaan pengukuhan keuntungan di masa hadapan.
Inisiatif strategik ini disimpulkan oleh Ybrs. Encik Muhammad Adnin Bakir bin Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RISDA Holdings Sdn. Bhd. dalam pembentangannya di Program Pemukiman KKDW & Syarikat Milikan Agensi tahun 2026 di Kuala Terengganu, pagi ini.
Diharapkan dengan kejayaan-kejayaan yang bakal dilakar oleh KRH ini seterusnya mampu memberi pulangan langsung kepada usaha RISDA untuk memakmurkan Pekebun Kecil Getah di seluruh negara.

