11 Februari 2026 | AMPANG
Satu Majlis Santunan Kasih Kepada Waris Kanak-Kanak Tabika KEMAS Selangor telah diadakan di Wisma PROTAC, Selangor.
Majlis bertujuan untuk menyampaikan pampasan dari caruman insurans berjumlah RM52,000.00 di bawah Skim Kemalangan Diri Berkelompok Kanak-Kanak Tabika KEMAS Negeri Selangor kepada ibubapa murid yang terlibat kemalangan pada tahun 2025.
Sumbangan disampaikan oleh Ybhg. Datuk Mohd Hanafiah bin Man, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Malaysia, disaksikan oleh YBrs. Encik Muhammad Adnin Bakir bin Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RISDA Holdings, En. Noor Azman bin Ab Rahman, Pengarah KEMAS Negeri Selangor serta Puan Marlynni binti Mohamed, wakil pengurusan RISDA.
Ketua Pegawai Eksekutif PROTAC Insurance Broker, Ybrs. SR. Jamaluddin bin Harun dalam ucapan aluannya merakamkan setinggi penghargaan kepada pihak KEMAS atas kepercayaan dan komitmen untuk PROTAC mengelolakan skim ini dan berharap pampasan ini sedikit sebanyak meringankan beban serta memberi kekuatan kepada keluarga untuk meneruskan kehidupan.
Beliau turut menegaskan kesediaan PROTAC dalam memastikan aspek perlindungan dan kebajikan sentiasa diutamakan, khususnya melibatkan anak-anak serta komuniti di bawah ekosistem KEMAS.
Untuk rekod, PROTAC Insurance Broker Sdn. Bhd. merupakan firma broker insurans dan takaful yang dilesenkan secara sah oleh Bank Negara Malaysia di bawah Kumpulan RISDA Holdings.

